Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/12/13
NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga FELDA (IKTIRAF) 2010 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pihak yang mendakwa FELDA bankrap, sebagai pengkhianat bangsa, kerana sanggup menghina institusi itu yang banyak berjasa kepada rakyat. Perdana Menteri menjelaskan FELDA sebenarnya adalah sebuah institusi yang berjaya dan mengubah landskap sosioekonomi negara selain mempunyai simpanan tunai yang banyak.
“Siapa kata FELDA bankrap...mana ada? Pengurusan FELDA kata, jangan sebut tetapi banyak wang tunai kita ada dalam simpanan...(dan) selamat,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga FELDA (IKTIRAF) 2010, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Najib berkata, pihak yang mendakwa Felda bankrap sebenarnya telah membuat pembohongan kedua terbesar selepas kononnya akan mengambilalih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada 16 September 2008.
Sebab itu, Perdana Menteri berkata, adalah wajib bagi rakyat termasuk warga FELDA untuk mempertahankan kerajaan sedia ada di Putrajaya.
Sambil menyifatkan golongan berkenaan tidak berhati perut kerana sanggup menghina dan mencemar imej FELDA, Najib berkata, pihak terbabit kini takut ‘menyerang’ FELDA kerana kebenaran telah terbukti bahawa apa yang mereka dakwa tidak betul.
“Sebab itu orang yang dakwa FELDA bankrap hari ini dah ketaq (ketar) lutut. Kita dah menang dua kes (saman) di mahkamah dan empat lagi kes sedang tunggu.
“Kita berada di pihak yang benar. Hari ini mereka tidak berani berkokok lagi. Kita cabar, kalau mereka berkokok, kita saman,” katanya.
Beliau berkata, kesanggupan mereka melakukan satu pengkhianatan mencemar dan menghina institusi FELDA sebegitu rupa dijadikan iktibar oleh semua anak FELDA generasi kedua dan ketiga selain peneroka asal FELDA untuk mempertahankan kerajaan yang sedia ada di Putrajaya.
Katanya, kini tiada siapa pun boleh menafikan hakikat bahawa 317 rancangan FELDA di seluruh negara sudah boleh diiktiraf sebagai masyarakat contoh luar bandar dengan strategi jelas bagi membangunkan serta memperkasakan generasi kedua dan ketiga anak FELDA.
Sementara itu, Najib berkata, FELDA membelanjakan RM210 juta bagi menyediakan peluang latihan atau melanjutkan pendidikan bagi lebih 33,000 anak FELDA selain komitmen membelanjakan RM50 juta setahun untuk tujuan yang sama, manakala sebagai menghargai sumbangan mereka, FELDA turut mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta.
“Ini termasuk masing-masing RM1 juta bagi program memerangi dadah dan gejala sosial, program pembangunan belia, kebudayaan dan sukan, program komuniti berpagar dan keselamatan, pengurusan majlis belia kebangsaan peringkat wilayah dan perancangan serta program sahsiah dan ekonomi belia.
“Selain itu, FELDA juga akan membina gelanggang futsal terbuka berharga RM100,000 setiap satu di setiap rancangan FELDA seluruh negara dengan peruntukan RM25 juta, yang dijangka siap menjelang 2012,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan