Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS kesal kerana bayaran bonus yang diumumkan oleh kerajaan BN kepada para peneroka Felda di seluruh negara terlalu kecil dan amat tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka, berbanding keuntungan yang diperolehi Felda setiap tahun. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keuntungan besar yang diperolehi oleh Felda sepatutnya diagihkan dengan sewajarnya kepada peneroka, tetapi dengan memberikan bonus yang terlalu kecil kepada peneroka menyebabkan Felda mengautkan keuntungan berkali ganda. Menurut beliau, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu disedari oleh para peneroka sendiri setelah sekian lama mereka diperlakukan sedemikian oleh pihak Felda akibat sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin BN. Sehubungan itu, beliau menyeru para peneroka di seluruh negara agar bangkit memperjuangkan hak masing-masing yang sepatutnya memperolehi keuntungan lebih besar atau bayaran bonus lebih tinggi dari pihak Felda. "Sepatutnya keuntungan Felda yang sebegitu besar itu akan dinikmati oleh para peneroka kerana merekalah yang bersusah payah mengusahakan tanaman itu sehingga menyebabkan Felda memperolehi keuntungan besar, tetapi malangnya yang mendapat keuntungan besar bukannya para peneroka, sebaliknya Felda. "Tambahan pula, para peneroka itu sendiri bukannya menghantar buah kepada pihak lain, tetapi kepada Felda juga. Jadi, kenapa keuntungan yang besar itu hanya dinikmati oleh Felda, manakala peneroka pula diberikan bonus yang terlalu kecil? Inilah yang kita kesalkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,916,600. Dengan itu, setiap peneroka Felda akan diberikan Bonus Insentif Produktiviti sebanyak RM400.00 (minima) dan sekitar RM1,200.00 (maksima). Bayaran tersebut diberikan sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda. Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, beliau turut kesal kerana Kerajaan BN sendiri sehingga kini tidak pernah mengumumkan jumlah keuntungan sebenar Felda kepada rakyat. "Jadi dengan pengagihan bayaran bonus yang terlalu kecil itu kepada peneroka, ia merupakan satu penindasan kepada para peneroka. "Itu semua berlaku kerana penyelewengan Felda dan para pemimpin BN. Kalau tidak kerana penyelewengan Felda dan pemimpin BN, para peneroka tidak akan diberikan bonus sekecil itu," katanya kesal. |
mahkamah-akhirat.blogspot.com " AYUH BERAMAL SOLEH SEBELUM DIAMBIL NYAWA KITA "
Isnin, Disember 27, 2010
Bonus peneroka Felda terlalu kecil??? DI MANA KEADILAN FELDA?
SUMBER
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan