Mohd Taufek Abd Rahman |
Guru merupakan tunggak penting dalam proses melahirkan modal insan yang berkualiti. Hal ini kerana produk-produk yang dihasilkan merupakan aset penting untuk negara pada masa akan datang. Bak kata pujangga, "dari tangan gurulah terhasilnya Perdana Menteri, dari tangan gurulah terhasilnya para doktor dan sebagainya". Justeru, guru seharusnya diberikan keistimewaan termasuklah tempat mereka bertugas. Hal ini supaya, guru-guru dapat lebih fokus dan bermotivasi ketika mendidik anak bangsa. Saban tahun, KPM menerima permohonan dari puluhan ribu individu yang ingin menjadi seorang guru. Setelah menjalani pelbagai peringkat tapisan, maka guru-guru ditempatkan di sekolah-sekolah yang ditetapkan. Namun, di sana terdapat masalah dari segi penempatan khususnya kepada guru-guru yang telah berumahtangga. Bermodalkan alasan guru-guru seharusnya bersedia untuk ditempatkan di mana-mana sahaja, alasan ini seolah-olah dijadikan perisai untuk pihak KPM menghantar guru-guru khususnya yang telah berumahtangga, jauh daripada keluarga dan anak-anak mereka. Impaknya, mereka terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak-anak demi menunaikan amanah mereka kepada agama, bangsa dan tanahair ini. Anak-anak yang masih kecil, yang sememangnya memerlukan perhatian daripada kedua-dua ibubapa mereka, terpaksa menerima akibatnya. Jika perpisahan tersebut dapat diketahui akan kadar tempohnya, maka mungkin di sana dapat juga menyuntik semangat kepada diri guru untuk terus betah dan bertahan dengan jarak yang jauh. Namun, tiada juga kata putus yang dapat dijadikan sebagai penguat semangat. Tambahan pula, situasi negara yang berhadapan dengan gejala sosial yang kian meruncing, sememangnya memerlukan perhatian oleh kedua ibubapa. Akan tetapi, mana mungkin perhatian tersebut dapat dilakukan sekiranya ibu dan bapa tinggal berjauhan. Bukan semua guru mampu membeli kereta untuk kemudahan berulang-alik. Malah apa yang lebih teruk, berlaku pula hubungan sulit antara guru-guru berpunca daripada pasangan yang tinggal berjauhan. Hal ini bukan sahaja mampu memporak-perandakan rumah tangga, bahkan mampu 'mencalit arang ke muka' KPM. Bukan itu sahaja, hal ini sememangnya memberikan kesan kepada kewangan sesebuah keluarga guru tersebut. Kos yang sepatutnya perlu ditanggung untuk sebuah tempat sahaja, bertukar kepada dua buah tempat. Kos sewa rumah, bil elektrik, telefon, air, kelengkapan rumah, perbelanjaan seharian dan sebagainya sememangnya membebankan kerana ia melibatkan di dua lokasi yang berlainan. Bukankah ini memberikan impak kepada jiwa seseorang guru itu dalam keadaan harga barang yang kian naik??? Demikian faktor sekeliling yang mampu menggugat reputasi seseorang guru tersebut. Buktinya, setiap kali tawaran pertukaran guru dibuka oleh pihak KPM, maka ribuan guru mengisi permohonan tersebut. Berbekalkan alasan dan justifikasi yang sesuai, dengan penuh harapan dan keyakinan, permohonan tersebut diharapkan berjaya. Pelbagai alasan yang diberikan sama ada dari sudut kesihatan, keselamatan, mengikut suami dan sebagainya. Justeru ini dapat dijadikan kayu ukur, pihak KPM perlu mengambil tindakan yang serius dalam urusan penempatan dan pertukaran guru. Beberapa saranan dapat disertakan seperti berikut: 1. Guru-guru yang telah berkahwin, ditempatkan di sekolah-sekolah yang berhampiran dengan pasangan mereka. Hal ini kerana, meskipun ditempatkan di sekolah yang jauh, pastinya guru tersebut akan memohon pertukaran dengan alasan mengikut pasangan. Bukankah ini hanya mensia-siakan pihak KPM? Melakukan tindakan ke atas orang yang sama. Jika sejak awal ditempatkan berhampiran dengan suami mereka, maka setidak-tidaknya ia memudahkan pihak KPM untuk berhadapan dengan permohonan yang lain pula. Bahkan jika guru-guru yang telah berkahwin ditempatkan berhampiran dengan pasangan masing-masing, ini menjimatkan kos kerajaan terutama dari sudut elaun perpindahan, tiket kapal terbang dan sebagainya. 2. Jika terpaksa ditempatkan berjauhan dengan keluarga, pihak KPM harus menetapkan suatu kadar tempoh tertentu. Sedikit sebanyak, ketetapan tempoh tersebut dapat memberikan semangat kepada guru-guru tersebut untuk terus bertahan berdasarkan tempoh yang ada. Apabila tempoh tersebut selesai, guru-guru yang memohon pertukaran tersebut hendaklah diluluskan. 3. Permohonan pertukaran yang selama ini hanya dibuka 2 kali setahun perlu diperluaskan kepada 3 kali setahun bagi kategori pertukaran antara negeri. Adapun pertukaran dalam negeri dibuka sepanjang tahun. 4. Tidak menganaktirikan sesetengah guru mata pelajaran yang ingin bertukar. Meskipun pihak KPM mahu menafikannya, namun hakikatnya itulah yang berlaku. "Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang." Konklusinya, meskipun pihak KPM mempunyai alasan yang tersendiri sebagai respon terhadap cadangan-cadangan di atas, namun saya mewakili guru-guru yang mengalami nasib yang sama seperti saya sememangnya mengharapkan KPM mengkaji semula penempatan dan pertukaran guru dengan lebih teliti. Melihat kepada statistik permohonan pertukaran, ini merupakan indikator betapa polisi penempatan dan pertukaran guru masih berada pada tahap yang belum memuaskan. Meskipun KPM tidak mampu memuaskan hati semua pihak, setidak-tidaknya pihak KPM mampu mengurangkan kadar peratus permohonan yang diterima setiap tahun. Apatah lagi proses pertukaran kini dipusatkan di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Moga KPM terus berjaya dalam misi memartabatkan pendidikan negara. Mohd Taufek Abd Rahman, Temerloh, Pahang. |
mahkamah-akhirat.blogspot.com " AYUH BERAMAL SOLEH SEBELUM DIAMBIL NYAWA KITA "
Selasa, Disember 28, 2010
KPM perlu teliti penempatan, pertukaran guru
sumbeer
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan