Selasa, Disember 07, 2010

Anwar mulakan kempen peneroka saman Felda. ALUMNI BEKAS KAKITANGAN FELDA DITUBUH!!!

SUMBER
Hafiz Baqi   
KAJANG, 7 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan kempen peneroka saman Felda dalam satu himpunan bertemu peneroka di Bera, Pahang pada 17 Disember ini.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya menganjurkan program tersebut yang turut disertai Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pesiapan kepada para peneroka yang bakal mengambil tindakan itu (saman Felda) sekiranya tuntutan mereka tidak diberi perhatian.

Dijangka lebih 1,000 yang sudah bersedia untuk menyaman Felda akan hadir dalam majlis tersebut.

"Peneroka akan diberi penerangan mengapa perlunya tindakan saman ini supaya semuanya mengambil tindakan sama," ujar beliau Majlis Makan Malam Rakyat Marhaen di Stadium Kajang, malam tadi.

Kata Mazlan, Pahang merupakan negeri teramai peneroka yang menyatakan bersedia betindak demikian iaitu sekitar 4,000 orang.

Sebelum ini Harakahdaily melaporkan kenyataan Mazlan yang yakin sekurang-kurangnya 5,000 peneroka akan ke mahkamah untuk menyaman Felda atas dakwaan melakukan penipuan.

"Sebahagian besarnya daripada Pahang kerana negeri itu paling banyak Felda di  Semenanjung," katanya Mazlan dalam majlis tersebut di hadapan lebih 2,000 orang yang hadir.

Saman besar-besaran peneroka ke atas Felda  bergantung kepada dua tuntutan kepada kerajaaan yang diberi tempoh untuk diselesaikan sehingga akhir Disember ini iaitu pembayaran wang tanam semula sebanyak RM17 ribu kepada peneroka yang masih belum menerima pembayaran tersebut dan pengredan perahan buah kelapa sawit dinaikkan kepada 23 peratus daripada sekitar 18 hingga19 peratus ketika ini.

Kedua-dua tuntutan itu dikemukan berdasarkan keputusan mahkamah masing-masing melibatkan peneroka Felda Sungai Koyan, Pahang dan Felda Sungai Kemahang, Kelantan.

Dalam kes peneroka Felda Sungai Koyan, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan kerajaan perlu bayar RM1,700 seekar kepada peneroka untuk tanam semula manakala kes peneroka Sungai Kemahang terbukti berlaku manipulasi penggredan perahan buah sawit yang merugikan peneroka.

Sementara itu, alumni kakitangan Felda yang ditubuhkan beberapa bulan lalu untuk memantapkan perjuangan menuntut hak para peneroka telah dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar atas).

Badan itu akan berganding dengan Anak, sebuah pertubuhan yang agresif menuntut hak-hak peneroka daripada Felda serta beberapa pertubuhan lagi yang bakal ditubuhkan untuk membentuk jaringan badan bukan kerajaan khusus menangani isu-isu berkaitan tanah rakyat serta tanah-tanah  rancangan seperti Felda, Fecra dan Risda.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, kumpulan yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai Felda ini akan sama-sama turun bertemu rakyat untuk menerangkan penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam Felda.

Selain itu kata Mazlan, kumpulan tersebut berperanan sebagai penasihat disamping memberi input-input berguna kepada Anak bagi memastikan tindakan-tindakan yang diambil memberi kesan semaksimumnya.

"Mereka sangat arif tentang penyelewengan dan penipuan Felda ke atas peneroka, malah ada antara mereka yang terlibat waktu bertugas dahulu kerana terpaksa (di arahkan) dan kini mereka mahu menebus kembali," katanya.

Turut bersama dalam majlis yang bermula dengan makan malam di Stadium Kajang itu termasuklah para peneroka dan rakyat tertindas daripada Sabah dan Sarawak.

Dalam majlis itu Pengerusi Alumni Bekas Pegawai Felda, Khamis Saat telah menyerahkan 50 borang penyertaan rakan-rakannya yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai Felda kepada Abdul Hadi.

"Dalam masa beberapa bulan lagi mereka mensasarkan 200 hingga 300 pegawai - pegawai Felda yang telah bersara menyertai gabungan ini," ujar Mazlan.

Tiada ulasan: