SUMBER
2010/12/23
CORDOBA: Pengasas diktator Argentina ketika era pemerintahan tentera junta pada 1976 hingga 1983, Jorge Videla, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah terbabit dalam pembunuhan kejam ke atas kumpulan berhaluan kiri ketika pemerintahannya. Videla, 85, bekas jeneral tentera yang memerintah antara 1976 dan 1981, mengakui perbuatannnya itu tetapi menafikan ia menyalahi hak kemanusiaan, sebaliknya ia hanya hukuman membabitkan pesalah politik.
Hakim Maria Elba Martinez menyifatkan Videla sebagai "manifetasi kepada negara keganasan' dan memerintahkan agar Videla menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara awam, bukannya tentera.
Seorang lagi jeneral junta, Luciano Menendez, 83, juga dihukum penjara seumur hidup kerana terbabit dalam kesalahan jenayah kemanusiaan ketika mengetuai angkatan tentera di 11 wilayah di negara itu.
Videla memperoleh kuasa ketika mengetuai tentera junta selepas melakukan rampasan kuasa pada 1976 dengan menjatuhkan kerajaan pimpinan
Isabel Peron.
Ketika rejim pemerintahannya, lebih 30,000 orang dilaporkan "hilang" termasuk memasukkan mereka di dalam pesawat ketika waktu malam dan dicampak di tengah laut.
Beliau menubuhkan 500 pusat tahanan di seluruh Argentina dengan lebih 10,000 ditahan dengan kebanyakannya didera dengan kejam dan dibunuh.
Kerajaan tentera itu tumbang pada 1983, setahun selepas pengganti Videla, Leopoldo Galtieri gagal dalam peperangan dengan Britain bagi mendapatkan Pulau Falkland. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan