Isnin, Oktober 10, 2011

Tiga pegawai risik SPRM didakwa?? ANTARA DASYAT ABAD NII

SUMBER

SEPANG 7 Okt. – Tiga pegawai risik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didakwa atas sembilan tuduhan membabitkan kesalahan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, penipuan dan penyamaran serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta.

Timbalan Penguasa, S. Vijayarao, 33, dan dua pegawai berpangkat Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, serta Aziz Jaafar, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang dibacakan kepada mereka di Mahkamah Sesyen, di sini.

Ia melibatkan tiga tuduhan utama bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, tiga tuduhan utama menipu dan tiga tuduhan pilihan menyamar serta tiga tuduhan utama menyembunyikan rancangan rompakan.

Perbuatan-perbuatan tersebut didakwa dilakukan di antara pukul 11 malam dan 11.25 malam, 15 September lalu di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 6 Disember ini untuk proses penyerahan dokumen.
Mahkamah turut mengenakan syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh-tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa, diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan serta larangan memasuki Sabah dan Sarawak.
Mereka didakwa atas tiga tuduhan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama dua lagi yang masih bebas iaitu T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34.
Mangsa-mangsa terdiri daripada Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik dengan setiap seorang melibatkan wang tunai AS$100,000 (RM320,000).
Mereka turut didakwa bersubahat dengan Sritharan menipu ketiga-tiga mangsa dengan memperkenalkan lelaki itu sebagai pegawai SPRM di Bangunan Satelit KLIA pada waktu yang sama.
Pegawai-pegawai berkenaan yang kini ditahan kerja turut didakwa atas tuduhan pilihan bersubahat dengan Sritharan yang melakukan penyamaran sebagai pegawai agensi berkenaan.
Vijayarao, Wan Elfie Shafizy dan Aziz juga didakwa atas tuduhan menyembunyikan rancangan rompakan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan bertujuan memudahkan mereka melakukan jenayah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, Seksyen 419 bagi kesalahan menipu, Seksyen 170 dibaca bersama Seksyen 109 bagi kesalahan bersubahat melakukan penyamaran dan Seksyen 120 bagi kesalahan menyembunyikan rancangan rompakan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud agar ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia melibatkan transaksi yang sama.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas dan Najib Zakaria turut hadir bagi pihak pendakwaan.
Peguam T. Vijayasandran mewakili Wan Elfie Shafizy, Aziz diwakili oleh peguam, Mohd. Nazri Yahya manakala Vijayarao diwakili oleh M.M. Athimulan.

Tiada ulasan: