Rabu, Julai 20, 2011

Ramadhan: Buka gerai makan selepas 3 petang

SUMBER
Harakahdaily   
SHAH ALAM, 19 Julai: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta peniaga membuka gerai jualan jam tiga petang dan ke atas Ramadhan nanti bagi  mengelakkan orang Islam yang tidak berpuasa membeli makanan pada waktu siang.

Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, peniaga-peniaga yang didapati dengan sengaja menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa akan diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 dan dikenakan tindakan di bawah seksyen 19.

Di bawah seksyen 19, bagi kesalahan pertama memperuntukkan mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan, menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu adalah suatu kesalahan dan apablia disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua pula, mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan, secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain seumpamanya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya sekali,” kata beliau pada majlis perhimpunan bulanan dan perasmian logo dan pemakaian seragam pegawai penguatkuasa agama Jais.

Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini belum ada arahan untuk menutup pusat-pusat hiburan di Selangor sepanjang bulan Ramadhan dan waktu operasi bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
 “Pusat operasi ini bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kita hanya menguatkuasa penyalahgunaan dan pelanggaran dari segi akta,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada mengenai status halal produk harian memandangkan terlalu banyak penyelewengan yang berlaku terutamanya untuk tujuan perniagaan.
Pada  Mac tahun lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengharamkan pengeluaran logo halal kepada enam agensi iaitu Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International.

Tiada ulasan: