Isnin, Julai 18, 2011

Pemergian Dr Lo’ Lo’ sangat dirasai

SUMBER
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 18 Julai: PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah malam tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat, terutamanya penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa yang mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.

Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan  juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.'

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.
"Bagi pihak Dewan Muslimat,kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang  ketika ditemui di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat awal pagi tadi.

Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.
"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir  di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.
Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya pengarah pilihan raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.
Turut kelihatan aktivis Hishamuddin Rais.

Tiada ulasan: