Ahad, Februari 20, 2011

DARI TUNISIA DAN MESIR.. KINI MELEDAK KE SELURUH NEGARA ARAB!!!

korban sulung protes Yemen

PENYOKONG kerajaan melontar batu ke arah penunjuk perasaan antikerajaan dalam satu pertempuran di Sanaa, semalam. - Reuters


SANAA (YAMAN)19 Feb. - Seorang penunjuk perasaan antirejim ditembak mati sementara lima yang lain berada dalam keadaan kritikal terkena tembakan dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dengan penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh di Sanaa, hari ini.

Menurut saksi, mangsa ditembak di leher dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital berhampiran Universiti Sanaa.
Penunjuk perasaan mula berarak awal pagi ini dari Universiti Sanaa ke Kementerian Kehakiman sambil melaungkan 'rakyat mahu rejim tumbang' sehingga mereka bertembung dengan polis antirusuhan.
Pasukan keselamatan yang dibantu anggota berpakaian preman dilapor melepaskan tembakan dan melontar batu ke arah penunjuk perasaan.

Kematian itu merupakan yang pertama di Sanaa selepas pertempuran sama sejak seminggu lalu.

Di Libya, pasukan keselamatan didakwa menembak mati 35 penunjuk perasaan di timur Bengazi malam tadi, sekali gus menjadikan angka korban meningkat kepada 84 hari ini sepanjang tiga hari protes antikerajaan, lapor Pemerhati Hak Kemanusian (HRW).

Menurut kumpulan tersebut, kematian terbaru di Benghazi itu berlaku apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas satu upacara pengebumian mangsa keganasan sebelum ini.

Sementara itu di Bahrain, kumpulan pembangkang utama Syiah, al-Wefaq hari ini mendesak pembubaran kerajaan dan pengunduran tentera dari jalan-jalan sebelum pihaknya bersetuju mengadakan dialog dengan Putera Mahkota, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.

Pembangkang menyifatkan, tawaran dialog yang dibuat Raja Hamad lewat malam tadi sebagai tidak serius dan tidak memenuhi keperluan buat masa sekarang.

Di Oman, sebanyak 300 penduduk melancarkan demonstrasi secara aman di Ruwi, daerah komersial di ibu negara, Muscat, bagi mendesak perubahan politik dan peningkatan gaji.
Penunjuk perasaan berkumpul dan menjerit 'kami mahu demokrasi' dan 'lebih banyak gaji dan kerja' selepas solat Jumaat.

Di Iran, pihak pembangkang menyeru rakyat berhimpun di Teheran dan bandar lain esok pada hari ketujuh bantahan sejak kematian dua penunjuk perasaan pada permulaan demonstrasi mendesak kerajaan dibubarkan.

Laman web pembangkang, kaleme.com menyatakan demonstrasi itu merupakan perjuangan untuk menentang diktator di Iran.

Di Jordan, sekumpulan lelaki bersenjatakan baton bertempur dengan penunjuk perasaan antirejim di ibu negara, Amman semalam mengakibatkan lapan orang cedera, dalam kejadian pertama sejak demonstrasi bermula di negara itu, lapor saksi. 

SUMBER

Tiada ulasan: