Khamis, Jun 02, 2011

Shah Alam sedia muktamar Pemuda dan Muslimat

SUMBER
Ismail Hashim   
SHAH ALAM, 1 Jun: Bandaraya Shah Alam siap sedia untuk menerima tetamu yang menyertai Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat yang bakal berjalan mulai malam ini.
Persiapan berjalan lancar dan hanya menanti saat dan ketikanya sahaja untuk dipenuhi oleh semua perwakilan pemuda dari negeri-negeri seluruh Malaysia.

(Gambar: Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) siap sebagai tempat Dewan Pemuda PAS Pusat bermuktamar kali ke 52)

Tahun ini, Muktamar Pemuda diadakan di Auditorium Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Muktamar Dewan Muslimat Pusat pula di Dewan Jubli Perak, di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) kedua-duanya di sini.

Perasmian Muktamar Pemuda akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pada jam 8 malam ini manakala muktamar Dewan Muslimat pada esok pagi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kali ini, penginapan dan persiapan pentas diserahkan kepada Dewan Pemuda Shah Alam, persiapan tempat (Kapar), promosi dan publisiti (Kota Raja) serta Klang (penyediaan makanan).

Menurut Ketua Pemuda Shah Alam, Mohd Hilmi Radzuan, semua persiapan berjalan lancar dan hanya menanti masa sahaja untuk majlis perasmian pada malam nanti.

Dalam pada itu, beliau berharap semua 674 perwakilan dapat datang lebih awal untuk pendaftaran bermula petang ini bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan jalan raya.

"Sistem pembesar suara yang dicuba memang mampu menampung keperluan hadirin dan akan dipastikan ia menjadi baik berterusan sepanjang program," jelasnya yang sudah biasa dengan kerenah sistem itu bila majlis berjalan.
(Ketua Pemuda PAS Shah Alam Mohd Hilmi Radzuan (dua dari kiri), Kapar, Taslim Haidar (kanan Hilmi) dan Kota Raja, Zainal Said (dua dari kanan) menanti kehadiran semua perwakilan Pemuda dari seluruh Negara.)

Dalam masa sama, Ketua Unit Persiapan dan Logistik untuk Muktamar Dewan Muslimat, Siti Zubaidah Yusof berkata, seramai 628 perwakilan muslimat akan berkumpul di SUK bermula malam ini.

Menurutnya, persiapan sedang rancak dilakukan untuk persiapan pentas, multimedia, dewan untuk media dan sebagainya dalam usaha menceriakan suasana bermuktamar kali ini.

Sementara itu, Muktamar PAS ke 57 pula akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Taman Melewar bermula 3 hingga 5 Jun ini dengan perasmian pada pagi Jumaat oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pada tahun ini, menyaksikan persaingan sengit melibatkan pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Timbalan Presiden PAS antara penyandang, Ustaz Nasharudin, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pemilihan untuk jawatan Naib Presiden juga amat menarik termasuk 18 Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memandangkan tahun diyakini pilihan raya umum ke 13 akan diadakan dalam masa terdekat.

Perwakilan kawasan-kawasan yang terdiri daripada mereka yang sudah lama dan berpengalaman di dalam memilih pemimpin terbaik, sudah pasti menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.

Tiada ulasan: