Selasa, Jun 28, 2011

Felda jangan ulangi kerugian Sime Darby DAN bekas tentera bersama Anak perjuangkan tanah bekas TENTERA???

SUMBER
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 28 Jun: PAS mengingatkan Felda agar mengambil iktibar daripada kerugian yang dialami Sime Darby akibat menceburi bidang yang bukan kepakaran mereka.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata demikian dengan merujuk kepada tindakan anak syarikat Felda, Proxcell Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama Prodata System Sdn. Bhd dan Ennovation Associated yang menceburi bidang teknologi maklumat (IT).

Sedangkan katanya, Felda seharusnya memberi tumpuan kepada bidang utama mereka berkaitan komoditi kelapa sawit.
"Saya memberi peringatan mengenai Sime Darby yang rugi hampir RM2 bilion antara sebabnya kerana menceburi bidang yang salah.

"Felda fokus utamanya ialah komoditi kenapa ceburi bidang IT?
"Kenapa melantik seorang bangsa Jerman sebagai CEO dan dimeterai pada 7 Jun 2010 disaksikan Perdana Menteri sedangkan Malaysia ada ramai pakar IT.

"Kalau mahu cebur bidang baru harus bergerak dalam bidang berkaitan contohnya keselamatan makanan dan sebagainya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Justeru beliau yang juga naib presiden PAS menuntut menteri yang bertanggungjawab menjelaskan perkara berkenaan agar kerugian yang sama seperti Sime Darby tidak akan berulang.


Lapor SPRM

Sementara itu, pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memberi masa selama sebulan kepada timbalan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat penjelasan mengenai wang yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM6 bilion.

Sekiranya Ahmad gagal berbuat demikian, Anak akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

"Timbalan menteri sudah mengakui ada meminjam wang daripada KWSP tetapi tak nyatakan secara terperinci ke mana wang itu digunakan.

"Kalau dalam masa sebulan beliau gagak membuat penjelasan, kita akan bawa perkara ini kepada SPRM untuk disiasat kerana wang ini wang peneroka," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tegasnya juga, Anak tidak teragak-agak memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam isu peneroka kerana ia merupakan institusi milik orang Melayu.

"Jika SPRM gagal siasat dan maklumkan hasil siasatan kita bincang untuk memohon Yang di-Pertuan Agong  campur tangan kerana Felda institusi milik orang Melayu dan Felda harus diselamatkan," katanya.

Ahad lalu, sebanyak 13 laporan polis dilakukan warga Felda seluruh Malaysia di kawasan masing-masing berkenaan pinjaman Felda daripada KWSP itu.

Rakan srategik baru
Sementara itu, Mazlan dalam sidang media sama mengumumkan penyertaan bekas tentera yang menamakan diri mereka Kelab Bekas Perajurit (Kerabat) bersama-sama Anak memperjuangkan isu peneroka.

Pengerusinya, Nazari Mokhtar berkata, Kerabat sudah mempunyai kira-kira 100 anggota yang gagal mendapatkan tanah yang dijanjikan kerajaan sewaktu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pengagihan tanah kepada bekas tenteri memang termaktub dalam perintah Majlis Angkatan Tentera (MAT) tahun 1973, 20 iaitu 20 hektar tanah pertanian dan 2 hektar tanah perumahan tapi malangnya tak ada satu agensi pun mengurus tadbir hal ini menyebabkan 290 bekas tentera tak dapat peluang ini," katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, Kerabat amat menghargai urusan Anak dan Pakatan Rakyat untuk memberikan tanah kepada bekas tentera yang telah  berkhidmat untuk negara.
"Kebajikan yang kerajaan beri bersifat sementara. Apa yang diperlukan ialah kebajikan yang berterusan.
"Saya selaku penaja kebajikan Anak berterima kasih kepada Pakatan Rakyat dan jika keutamaan ini diberi kepada tentera ini sangat membanggakan," katanya.

Kerabat akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Selangor Oktober depan membabitkan bekas tentera di seluruh negara.

Menurut Mazlan juga, Anak telah memperuntukkan 15 ribu borang permohonan tanah kepada bekas tentera.

Tiada ulasan: