Rakan-rakan seperjuangan pakar undang-undang perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari dalam bidang perundangan dan akademik, berdiri teguh di belakang beliau yang digantung tugasnya oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Dalam satu kenyataan media semalam, Persatuan Kakitangan
Akademik Universiti Malaya (PKAUM) membantah tindakan tersebut yang dianggapnya telah melanggar kebebasan akademik Aziz Bari dan hak umumnya untuk bersuara.
Dalam mempertahankan Abdul Aziz, presiden PKAUM dan Prof Madya undang-undang, Azmi Sharom (kiri) berkata, Akta Hasutan membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.
Dalam kes Abdul Aziz, katanya, apa yang telah beliau lakukan adalah semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan.
Menurutnya, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.
Pensyarah Universiti Malaya itu turut menggesa supaya dihentikan siasatan polis terhadap Abdul Aziz.
Menurutnya, sebagai seorang ahli akademik, Abdul Aziz diminta memberi komen mengenai perkara yang berkaitan dengan bidangnya, dan "tugas beliau adalah untuk menggunakan kepakarannya untuk memberi penjelasan kepada umum dalam isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidangnya".
Azmi berkata, mana-mana ahli akademik mestilah dibenarkan untuk berbuat demikian, dan tindakan yang diambil terhadap Aziz Bari akan menanam rasa takut di kalangan masyarakat akademik.
Beliau menyifatkannya sebagai satu petunjuk bahawa tiada kebebasan akademik di Malaysia dan tanpanya, adalah mustahil untuk sebarang pembangunan dalam kapasiti intelek negara.
Sementara itu, Lawyers for Liberty, pula berkata tindakan terhadap Abdul Aziz itu jelas merupakan satu penafian terhadap hak asasinya dalam kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 perlembagaan persekutuan.
Kumpulan peguam hak asasi manusia itu, yang juga terdiri daripada alumni UIA, melahirkan rasa kecewa atas sekatan kebebasan akademik, yang menurutnya, menjadi pra-syarat kepada transformasi Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, anggota Lawyers for Liberty, Afiq M Noor menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak "melangkaui sempadannya" dalam siasatan terhadap Abdul Aziz dan portal berita Malaysiakini, yang menyiarkan komennya.
Timbalan menteri padang berat...
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut menyuarakan rasa "terganggu dan sedih mendengar kes tersebut".
"Saya tidak semestiny setuju dengan semua pendapat Aziz Bari.
Kalau benar dia bersalah, wajar dihukum.
"Kini ia masih dalam siasatan. Justeru, tindakan UIA menggantungnya saya dapati menimbulkan persoalan," tulisnya dalam SMS kepada Malaysiakini.
Saifuddin (kanan) menambah, beliau telah meminta laporan bertulis daripada pihak universiti berhubung perkara itu.
Katanya, beliau juga mendapat maklumat bahawa mahasiswa merancang berdemonstrasi membela Aziz Bari, sambil menambah: "Itu hak mereka.".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan