SUMBER
Oleh : HAJI HAMZAH ABDULLAHPAS Sabah merakamkan ucapan takziah kepada ibubapa serta keluarga Almarhumah Kartini Borhan, serta turut bersimpati di atas kehilangan anak yang dikasihi berpunca daripada kes bunuh yang tidak berperikemanusiaan, yang hanya tergamak dilakukan oleh puak yang telah jauh tersesat daripada hidayah Allah.
PAS Sabah berdoa semoga roh Almarhumah ditempatkan di kalangan roh-roh mereka yang mendapat rahmat serta keampunan dari Allah s.w.t dan menyeru keluarga Almarhumah supaya bersabar dalam menghadapi ujian yang amat getir ini.
Kes bunuh secara kejam yang dilakukan ke atas Kartini adalah rentetan daripada beberapa kes-kes bunuh secara misteri bermula seawal tragedi menimpa Mustakizah, Norietta dan tentunya banyak lagi.
Dalam semua kes bunuh secara kejam yang dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia ini mencapai kemuncaknya dengan letupan menggunakan bom C4 ke atas seorang model Monggolia, Altantuya Shaaribu.Mengamati berita yang terpampang di dada akhbar tempatan pada 30 September lalu berkaitan kes bunuh ini, saya sendiri terpaksa membaca berulang kali dan cuba memahami jalan cerita yang ditulis oleh pemberita akhbar berkenaan.
Saya terkesan semacam ada sesuatu yang cuba diselindung, sehingga jalan cerita yang disiarkan berita yang saya baca memang tidak masuk akal. Akhirnya, keraguan saya tentang kesahihan berita tersebut terlerai apabila Sabahkini.net mendedahkan beberapa penemuan yang ada hubungkait dengan pembunuhan ke atas Kartini dilakukan oleh orang yang telah didedahkan oleh ayah Almarhumah Kartini dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Keningau.
PDRM sering mecanangkan kepada rakyat, bahawa tahap kecekapan menyelesaikan kes-kes jenayah di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia. Kita mengakui fakta ini kerana banyak kes-kes jenayah, sama ada melibatkan jenayah perdagangan seperti penangkapan beberapa warga Taiwan dan China baru-baru ini; termasuk kes memalsukan kad-kad kredit, serta kes bunuh yang dilakukan di sesuatu negeri tetapi pelakunya berjaya ditangkap di negeri lain.
Kita kagumi kehebatan PDRM dan menghargai jasa serta komitmen institusi keselamatan negara yang dianggotai oleh anggota professional dan berpengalaman. Tetapi, dalam kes melibatkan pembunuhan Kartini Borhan, saya pasti ramai daripada kita meragui kecekapan pihak polis, khususnya pasukan polis Daerah Keningau.
Bolehkah diterima akal yang rasional bahawa Inspektor Ahmad Rizal Omar yang kononnya dimaklumkan melalui telefon bimbit bahawa Kartini untuk meminta bantuan beliau, terpaksa bergelut dengan penceroboh yang dikatakan mempunyai pisau serta benda tajam sehingga mencederakan beliau?
Boleh tolong jawab secara jujur, apakah polis berpangkat Inspektor tidak dibekalkan dengan pistol? Kemudian, adakah boleh diterima logik akal bahawa Inspektor Ahmad Rizal mampu datang dengan sekelip mata sahaja ke rumah Kartini setelah mendapat panggilan daripada Kartini, serta terserampak pula dengan penceroboh yang sedang menikam Kartini dan kemudiannya menikam Inspektor Ahmad Rizal beberapa kali? Bolehkah diterima teori ini oleh akal yang waras? Jawapan semua ini hanya ada pada PDRM Keningau dan IPK Negeri Sabah.
Bagi pihak rakyat yang cintakan keadilan dan ketelusan, seiring dengan iltizam yang kononnya mahu merealisasikan urus tadbir yang baik (Good Governance) oleh Kerajaan 1Malaysia yang diterajui Najib, PAS Sabah menuntut agar melakukan Inkues dan hasil siasatan kes pembunuhan kejam ini didedahkan kepada umum; serta pelakunya didakwa di mahkamah.
PAS Sabah juga mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu yang sering menyalahgunakan kuasa mereka, bahawa setiap perilaku jahat, kezaliman dan penganiayaan yang ditimpakan keatas makhluk Allah, akan pasti mendapat balasan yang setimpal, baik didunia mahupun diakhirat.
Ingatlah akan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” (an-Nisa:135)
(NOTA : Hj. Hamzah Hj. Abdullah merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan