Rabu, Mac 18, 2009

Wasiat Luqmanul Hakim 6 (akhir)

Persoalan Kedua Belas:

Luqman nasihati anaknya agar tidak berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat hinggalah akhirnya keseronokan ini melebihi had di dalam pergerakannya, membezakan kelakuannya dengan manusia lain kerana ia mengandungi ciri-ciri berlebih-lebihan atau jauh dari kesederhanaan .
Dengan ciri ini orang yang gembira ini akan menjadi takabbur dan sombong yang melebihi had syara'. Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh! Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri"

Persoalan Ketiga Belas:

Luqman menasihati anaknya agar besederhana dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan dan tidak kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana sekeliling.

Oleh itu sikap sederhana dan sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda/ lambang seseorang itu tenang, beraqal dan diri yang cergas dan sihat.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan besederhanalah dalam berjalan"

Persoalan Keempat Belas: (terakhir)

Luqman menasihati anaknya agar merendahkan suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan pendengar. Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan. Diterangkan dalam wasiat ini, bahawa mengangkat suara tanpa hajat/ keperluan merupakan perkara yang dikutuk, dikecam, tidak disukai dan buruk. Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut ini bahawa seburuk-buruk suara adalah suara himar/ keldai kerana suara himar/ keldai awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak/ melalak.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
“Dan lembutkan lah suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar ”.

Tiada ulasan: