Rabu, Mei 09, 2012

TUDUHAN TUAN GURU NIK AZIZ KAFIR : MANA SUARA MAJLIS FATWA?

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA



TUDUHAN TUAN GURU NIK AZIZ KAFIR : MANA SUARA MAJLIS FATWA?

(8 Mei 2012)



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak bekas Ketua Polis Negara,
Tan Sri Abdul Rahim Noor menarik balik kenyataannya yang menuduh YAB
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir kerana
menyesatkan umat Islam dengan menyatakan bahawa menyertai perhimpunan
Bersih 3.0 sebagai suatu jihad. Kenyataan Tan Sri Rahim Noor telah
disiarkan di New Straits Times (NST) pada hari ini.





Bagi DPPM, tuduhan Tan Sri Rahim amat keterlaluan dan bersifat kurang
ajar. Beliau dengan semberono menuduh ulama’ seperti YAB Tuan Guru
Datuk Nik Abdul Aziz sebagai kafir dan menyesatkan. Menuduh seseorang
itu kafir adalah tuduhan yang berat, terlebih lagi jika yang dituduh
itu adalah alim ulama’.





Soalnya, siapakah Tan Sri Rahim untuk menghukumkan YAB Tuan Guru Datuk
Nik Abdul Aziz sebagai sesat dan kafir? Apakah latar belakang beliau
jika hendak dibandingkan dengan ulama’ ini dan sejauh mana kefahaman
Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat
atau betul?




Kenyataan beliau dengan jelas menghina institusi ulama’. Realitinya
bukan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz  yang berpendirian demikian,
malah ramai para ulama’ turut mendokong perjuangan menegakkan
kebenaran ini. Buktinya, ramai para ulama’ turut hadir dalam
perhimpunan Bersih 3.0 tempohari. Adakah para ulama’ ini tidak
memahami Islam atau mungkin mereka juga telah disesatkan oleh
kenyataan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz? Tan Sri Rahim Noor lebih faham
Islam daripada ulama’-ulama’ yang hadir dalam Bersih 3.0?




DPPM merasa kesal kerana kenyataan Tan Sri Rahim Noor disiarkan oleh
media-media utama tanpa tapisan. DPPM turut kesal kerana para ulama’
dalam UMNO serta Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendiamkan diri apabila
para ulama’ dihina dan ditohmah sesuka hati. Mungkin inilah nasib para
ulama’ yang memperjuangkan kebenaran, dicaci dan dihina oleh mereka
yang menolak Islam.





Oleh itu, DPPM meminta supaya Tan Sri Rahim supaya bertaubat dan
beristighfar dengan segera. Menuduh seorang ulama’ yang berjuang demi
menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir
dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam. Para ulama’
adalah pewaris Nabi dan Nabi Muhammad SAW sendiri mengiktirafnya,
sebaliknya, menghina ulama’ yang benar sama seperti menghina Nabi
Muhammad SAW. DPPM bimbang, kenyataan beliau akan memakan tuan dan
mengena balik kepada dirinya!




DR RAJA AHMAD AL HISS

Naib Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: