Isnin, April 09, 2012

Cek RM4 juta punca Sosilawati dibunuh?? > benarkah???

sumber

SHAH ALAM 6 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa dua cek bernilai RM4 juta yang sepatutnya dibayar kepada Datuk Sosilawati Lawiya adalah punca tertuduh pertama, N. Pathmanabhan bertindak membunuh jutawan kosmetik itu serta tiga lagi yang turut berada di tempat kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin semasa berhujah di akhir kes pendakwaan berkata, tindakan Sosilawati pergi ke Banting untuk berjumpa Pathmanabhan bagi mempercepatkan tarikh cek pada 30 Ogos 2010 telah menimbulkan tekanan.

Ia berikutan bekas peguam itu hanya mempunyai RM1.3 juta di dalam akaunnya pada tarikh tersebut selain terdapat surat yang ditulis pada hari kejadian tetapi bertarikh 11 Ogos 2010 untuk pemindahan wang dari akaun anak guam yang sepatutnya dibayar kepada Sosilawati ke dalam akaun peribadinya.
"Apabila Sosilawati datang untuk mempercepatkan tarikh pada cek, tertuduh pertama mendapat tekanan yang amat berat. Tiada jalan lain saya hujahkan di sini melainkan bunuh sahaja.

"Oleh kerana yang datang pada hari itu empat orang, maka mereka semua menerima nasib yang sama. Walaupun pedih untuk didengar namun itulah hakikatnya," hujah beliau.
Menurut Saiful Edris, selain Sosilawati dan tiga lagi, bukti kejadian serupa turut ditemui dalam kes membabitkan dua ahli perniagaan, Shafiq Davendran Abdullah dan A. Muthuraja yang didakwa menemui Pathmanabhan sebelum hilang sehingga hari ini.

Jelas beliau, keterangan Samson Nahar Mohamed Dali dan Usharani Sethuraman yang mengesahkan suami masing-masing pergi berjumpa Pathmanabhan atas urusan perniagaan sebelum itu bukan satu kebetulan.
Hujah beliau, ia berdasarkan penemuan dokumen bank Shafiq di dalam beg plastik biru di dalam trak pikap milik Pathmanabhan serta surat kuasa atas nama Muthuraja bagi sebidang tanah di Pulau Pinang yang dirampas dari pejabat tertuduh.

Katanya, bukti bahawa Pathmanabhan mempunyai urusan dengan lelaki-lelaki itu disahkan oleh keterangan pembantu rumah warganegara Indonesia, Siti Hamidah Karnax yang melihat mereka datang ke Ladang Gadong diikuti api marak sebelum kedua-duanya hilang begitu sahaja.

Ia disokong oleh penemuan tulang-tulang di ladang tersebut yang disahkan kemungkinan besar tulang manusia oleh pakar forensik dan bukti itu wajar diterima oleh mahkamah berikutan ia tidak dicabar.
"Foto Shafiq dan Muthuraja telah dikenal pasti oleh Siti Hamidah. Dia melihat Shafiq dan Muthuraja datang ke ladang serta melihat api marak sebagaimana dalam kes Sosilawati. Selepas itu kedua-duanya tidak lagi kelihatan. Adakah ini kebetulan? Jawapan kami adalah tidak.

"Dengan rendah hati kami hujahkan, terdapat persamaan fakta bahawa mereka semua berjumpa tertuduh pertama di ladang sebelum hilang. Dalam semua kes, Siti Hamidah nampak api marak. Sehingga sekarang tiada sebarang berita daripada Shafiq, Muthuraja, Sosilawati dan tiga lagi mangsa," katanya.
Saiful Edris turut membangkitkan isu penemuan bahan-bahan bukti seperti jam tangan dan telefon bimbit milik mangsa berdasarkan maklumat lebih daripada seorang tertuduh.

Hujah beliau, mereka tidak akan mampu memandu arah pihak polis ke lokasi barang-barang itu dibuang melainkan mereka tahu apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa serta rentetan kejadian pada malam tersebut.

Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010
Hakim Datuk Akhtar Tahir akan membuat keputusan sama ada membebaskan tertuduh-tertuduh atau memanggil mereka membela diri pada 30 April ini.

Tiada ulasan: