Jumaat, Februari 24, 2012

KPF batal Mesyuarat Agung Perwakilan Khas 22HB 2 LALU ATAS KEHEBATAN PAS PERJUANGKAN KEBAIKAN RAKYAT!!!




SUMBER

Hazayani Zakaria, 21 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) membatalkan mesyuarat agungnya yang dijadualkan esok kerana mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan melarang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dibincangkan.

Menyifatkan keputusan itu sebagai kejayaan kedua Anak, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah KPF yang menghormati keputusan mahkamah.

"Berita ini sangat menggembirakan kita kerana Anak telah berjaya menghalang EGM membincangkan penyenaraian FGVH dan ini kejayaan awal bagi menghalang usaha penyenaraian FGVH," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pada 17 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan telah membenarkan injunksi interim melarang KPF (defendan) berbincang atau membuat keputusan untuk melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Injunksi itu dipohon lapan pemegang saham (plaintif) KPF melalui peguam Harris Abdullah.

Anak secara rasmi menyerahkan keputusan mahkamah itu kepada KPF di ibu pejabatnya, Jalan Semarak, dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Mazlan merakamkan ucapan tahmiah kepada pasukan peguam yang bertungkus-lumus memastikan penyenaraian FGVh tidak dibincangkan dalam EGM KPF.

Sementara itu, Mazlan terus mendesak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan kerana kehadirannya disifatkan sebagai "mengganggu ketenteraman Felda".

"Saya minta Tan Sri Isa Samad berundur secara terhormat kerana baru setahun lebih beliau menjadi pengerusi, banyak perkara tidak menggembirakan peneroka berlaku.

"Kalau beliau tidak mahu berundur, Anak meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat beliau," tegasnya.

Dalam pada itu, KPF sebentar tadi juga telah menghantar surat kepada media memaklumkan EGM itu dibatalkan.

Setiausahanya, Abidin Abd Rahman menyatakan pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas yang dijadualkan di Dewan Perdana Felda, Anjung Felda esok itu disebabkan oleh perintah Mahkamah Tinggi Kuantan melalui perintah Injunksi Interim bertarikh 17 Februari (semalam).

Tiada ulasan: