Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak mahu ada pihak yang membuat tafsiran tidak tepat dan mempersoalkan kuasa yang digunakan kerajaan dalam mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak.
"Saya sedar ada niat yang mahu menyalahkan polis untuk menggambarkan polis itu menggunakan kuasa, zalim dan keterlaluan dan nawaitu mereka itu mahu menggambarkan kerajaan sebagai autokratik dan tidak mengikut perubahan zaman," katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam memberi amaran tegas kepada semua pihak yang berhasrat menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Najib menegaskan, dalam isu perhimpunan itu, kerajaan tidak menolak hasrat untuk mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih, malah komited untuk memastikan pelaksanaannya.
Buktinya, kata Najib boleh dilihat pada keputusan pilihan raya lalu yang menyaksikan parti pembangkang mencipta kejayaan luar biasa sehingga menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen.
Terdahulu, Najib disambut kira-kira 15,000 rakyat sempena Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat dan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors di padang Sekolah Rendah Machang 1 sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan