Khamis, Mei 05, 2011

PAS Perlis sedia bekal maklumat kepada Dr Juanda

SUMBER
Bashir Ishak   
KANGAR, 5 Mei: PAS Perlis bersedia membekalkan maklumat-maklumat kepada kepada Mufti, Dr Juanda Jaya berkaitan penolakan PAS untuk bersatu dengan Umno.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) berkata demikian mengulas kenyataan Juanda yang mengatakan pihak yang menghalang usaha penyatuan PAS Umno sebagai pengkhianat Islam.
"Kita bersedia untuk membekalkan kepada beliau maklumat yang menjelaskan mengapa kita masih menolak perpaduan dengan Umno," jelasnya.

Sambil menyifatkan tuduhan Juanda itu sebagai keterlaluan, Ustaz Hashim berkata perwatakan Umno sejak dari dulu lagi tidak berubah khususnya tentang pandangan mereka terhadap perlaksanaan syariat Islam.
Tambahanya, tuduhan Sahibussamahah itu adalah keterlaluan dan sepatutnya beliau menyiasat terlebih dahulu kenapa PAS menolak pelawaan Umno.
“Mengapa Dr Juanda tidak meletakkan syarat untuk perpaduan itu mengikut pandangan Islam dan bukannya perpaduan secara mutlak begitu saja?” soalnya yang juga Adun Sanglang. 
Menurutnya, sudah terlalu banyak yang Umno lakukan kepada PAS sebelum ini.
PAS pernah berpengalaman duduk bersama mereka dahulu tetapi Umno sendiri tidak bersedia untuk mendengar pandangan PAS ke arah kebaikan negara dan Islam itu sendiri.
"Umno sekarang samalah seperti dulu dari segi pegangan, perangai dan tingkah laku.
“Jadi PAS tidak bersedia untuk digigit pada lubang yang sama sampai dua kali. Kita tak mahu pisang berbuah dua kali," jelasnya.

Tiada ulasan: