Persoalan Keenam:
Luqman berpesan kepada anaknya supaya melakukan 'pemerhatian' tentang Hari Qiamat, urusan al- Qadha', pembalasan amalan serta melakukan pemerhatian terhadap segala arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Nanti kamu akan kembali kepada KU dan akan AKU beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"
Persoalan Ketujuh:
Luqman menerangkan kepada anaknya akan 'syumul'nya Ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa sahaja tanpa ada halangan. Allah mendatangkan sesuatu yang diinginkanNYA dari segenap tempat yang tak mampu dibuat oleh makhluk.
Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh di dalam batu atau jauh berada di tempat yang tinggi seperti langit atau jauh berada di sedalam-dalam tempat seperti di dasar bumi akan didatangkan oleh Allah jua pada Hari Qiamat untuk dihisab / dihitung dan diberi ganjaran dosa atau pahala.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 16 surah Luqman yang bermaksud:
"(Kata Luqman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tesembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal-hal yang halus) dan Cukup Tahu"
Persoalan Kelapan:
Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat/ sembahyang kerna solat merupakan fardhu yang difardhukanNya melalui utusanNya di bumi ( dari kalangan Nabi dan Rasul).
Selepas manusia ditegah dari syirik dan ditakutkan dengan Ilmu Allah dan QudratNya yang tak dapat ditandingi oleh sesiapa, datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip Tauhid iaitu antaranya solat/ bersembahyang. Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepada Nya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
“Hai anakku! Dirikanlah solat/ sembahyang”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan