Tumbuk Rusuk ?
Di antara larangan Allah yang jelas sekali di dalam Al-Quran adalah jangan melakukan rasuah atau pecah amanah. Pengertian rasuah telah lama dikenal iaitu semenjak wujud Kerajaan Islam Awal di Semenanjung Kelantan 1181 Masehi dan Kerajaan Islam Trengganu 1303 Masehi. Pada masa itu rasuah disebut sebagai risywah, rasywah, makan suap, tumbuk rusuk, duit kopi, air kopi, air teh dan duit poket (selepas kedatangan Inggeris).
Pada dasarnya, Islam mengharamkan rasuah ke atas Umatnya. Perbuatan itu haram samada bagi penerima seperti hakim, qadhi, pegawai atau pekerja yang memang kerjanya tidak perlu lagi diberi upah oleh seseorang rakyat, begitu juga dengan pemberi atau orang tengah! Firman Allah : Ayat 188, Surah Al-Baqarah :
ولا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل وتدلوا بها إلى الحكام لتأكلوا فريقا من أموال الناس بالإثم وأنتم تعلمون.
[ dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sesama kamu secara tidak sebenar dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim agar kamu dapat memakan sebahagian harta benda orang lain secara dosa (rasuah), sedangkan kamu mengetahui]
Ayat ini menceritakan tentang larangan Allah mengambil harta orang lain secara salah, antara caranya ialah merasuah para hakim, bentuk larangan dalam ayat ini adalah mengharamkan! Maka jadilah rasuah itu haram.
Rasuah adalah jenayah ke atas Umat Islam di mana individunya adalah menjadi anggota masyarakat yang seharusnya seia sekata dan saling turut merasa senang dan rasa sakit. Para hakim selalu terdedah kepada bahaya rasuah ini. Rasulullah saw pernah mengingatkan kita bahawa hakim itu 2/3 bakal dimasukkan ke neraka. Hanya 1/3 sahaja selamat!
1. Hakim yang tidak tahu kebenaran, membuat hukuman yang tidak benar – di neraka
2. Hakim yang tahu kebenaran, membuat hukuman yang tidak benar – di neraka
3. Hakim yang tahu kebenaran, membut hukuman yang benar – di syurga (selamat)
Rasulullah saw hanya mempunyai 1 gelaran sahaja iaitu ál-amin’yang bermaksud amanah atau jujur. Amanahnya Rasulullah saw bukan sahaja disokong oleh orang Islam tetapi bukan Islam. Bukan Islam percaya kepada amanahnya Nabi saw sehingga mereka sanggup menyerahkan barang-barang mereka untuk disimpan dan dijaga oleh Nabi saw pabila mereka keluar musafir! Maka itulah contoh terbaik sebagai pemimpin, mesti amanah! Pemimpin yang pecah amanah, rasuah, salah guna wang rakyat, wang kerajaan tidak layak memimpin dan perlu diganti. Tempatnya mesti dilantik dari kalangan rakyat yang rekodnya bersih daripada rasuah dan kuat taqwanya kepada Allah!
Banyak kali kita mendengar di radio, melihat di televisyen, membaca akhbar-akhbar tentang mereka yang berpangkat tinggi dalam masyarakat terlibat dengan rasuah! Jika kita memilih pemakan rasuah sebagai pemimpin, maka kita juga berdosa! Tepuk dada, tanyalah jiwa kita. Jangan kita menipu diri sendiri, kerana rasuah ini sudah menguasai tanah ini.
Kita memohon simpati dan belas kasihan Allah agar diberikan rahmat dan hidayat agar mereka yang sering melakukan rasuah agar segera berhenti dan bertaubat! Jika tidak, akan datanglah bala Allah yang sudah cukup syarat-syaratnya untuk memusnahkan bumi yang kita tinggal dan sayangi ini…
* Sebarang cadangan membina, teguran membina dan pandangan demi kebaikan Agama Islam, sila ajukan kepada pihak di bawah. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan