Rabu, Disember 21, 2011

PAS lancar Dokumen Negara Berkebajikan di Sabah>> SABAH JUGA BERPELUANG!!!

Written by Mohd Firdaus  
KOTA KINABALU, 20 Dis: PAS hari ini melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan dengan memberi tawaran PAS kepada rakyat Malaysia, khususnya Sabah dalam pendekatan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang beramanah, adil dan berkebajikan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media pelancaran dokumen tersebut berkata, kandungan dokumen yang merangkumi 10 agenda utama menterjemahkan konsep Negara Berkebajikan.

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini, melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan peringkat Negeri Sabah.

“Saya berharap ianya dapat diteliti dan dikaji sebaiknya oleh rakyat Sabah,” ujarnya.

Dokumen tersebut telah dilancarkan di peringkat nasional pada 11 Disember lalu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Buku setebal 59 muka surat itu mengandungi tujuh bahagian antara lain memuatkan penjelasan konsep negara berkebajikan, teras-teras utama, polisi-polisi umum dan 10 agenda permulaan jika PAS diberi mandat bersama Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Bahagian 10 agenda permulaan pula memperincikan tawaran PAS antara lain seperti berikut:

1- Kerajaan beramanah, adil dan bersih
2- Masyarakat penyayang , aman dan bersatu
3- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
4- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
5- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
6- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
7- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
8- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela
9- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari

Pelancaran yang diadakan di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu itu turut dihadiri oleh Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS; Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah; Awang Laiman, Setiausaha PAS Sabah dan Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Sabah.

Tiada ulasan: