Isnin, November 14, 2011

Jadi pengeluar bertaraf dunia >> GELATIN HALAL PERTAMA DUNIA??

SUMBER


Dr. Rajen M.


PETALING JAYA 13 Nov. – Holista Biotech Sdn. Bhd. (Holista Biotech), pengeluar gelatin halal pertama dunia merancang menempatkan kemudahan penghasilan kolagen dan gelatin di Malaysia.
Sekiranya segala-galanya berjalan lancar, Malaysia akan menjadi negara Islam pertama melibatkan diri dalam pengeluaran produk berkenaan.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Rajen M. berkata, syarikat itu mempunyai tanah seluas 1.4 hektar di Bandar Estek, dekat sini untuk ditempatkan kemudahan bernilai RM15 juta.
‘‘Kami sedang berbincang dengan institusi kewangan bagi membiayai pembangunan kilang pembuatan kolagen dan gelatin di Malaysia,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Holista Biotech merupakan anak syarikat milik penuh Holista Colltech (Australia) Ltd., yang disenaraikan di Australia.
Dr. Rajen berkata, pihaknya melihat peluang perniagaan yang luas bagi produk ini dengan potensi pasaran di negara-negara Islam termasuk di Timur Tengah.
‘‘Gelatin adalah komponen penting dalam kebanyakan makanan di serata dunia. Selain peniagaan minuman, kami turut berbincang dengan bakal pelanggan dalam peniagaan kosmetik,’’ kata beliau.
Sambil menyatakan hanya 0.7 peratus gelatin yang terdapat di pasaran adalah halal, Dr. Rajen berkata, Holista Biotech berhasrat untuk menguasai lima peratus pasaran yang diunjurkan bernilai AS$2.2 bilion (RM6.82 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, syarikat itu telah membiayai pembangunan dan penyelidikan halal dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan enzim halal untuk penghasilan kolagen dan gelatin.
‘‘Pada masa ini, tiada lagi negara Islam yang terlibat dalam pengeluaran kolagen dan gelatin halal ini dengan penduduk Islam dunia yang semakin berkembangi,’’ kata beliau.
Menurut Dr. Rajen, pihaknya sedang mencari rakan kongsi di Malaysia, yang mana menyaksikan syarikat asing itu menguasai 30 peratus kepentingan manakala selebihnya kepada rakan niaga yang berpotensi.
Dr. Rajen berkata, rakan kongsi tempatan dicari kerana syarikat berhasrat untuk menggunakan peluang yang ada sejajar dengan usaha Malaysia menjadi hab halal di dunia.
‘‘Sebuah syarikat baharu akan ditubuhkan sekiranya kami berjumpa dengan rakan kerjasama tempatan bersesuaian’’ tambah beliau.
Difahamkan Holista Colltech telah berbincang dengan PNB yang berminat untuk menceburi dalam pengeluaran produk berkenaan.
Dr. Rajen juga berkata, pihaknya juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal dan berkeyakinan bakal memperoleh status berkenaan dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak lama lagi.

Tiada ulasan: