Selasa, Jun 14, 2011

Nota Bantahan kepada YAB MANTAN PM (PAK LAH)- 2007



SUMBER

18 DISEMBER 2007
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, BERSIH memandang serius dan merakamkan rasa kekecewaan serta kekesalan tentang kelulusan Pindaan Rang Undang-undang bersabitan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan usia pemegang jawatan ahli Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 ke 66 tahun.

Nota Bantahan yang dikemukakan kepada Speaker Parlimen pada 11 Disember baru-baru ini yang sekaligus telah mencetuskan pesta penangkapan 24 orang ahli Jawatankuasa Pemandu dan aktivis BERSIH serta tindakan keluar Dewan kesemua ahli parlimen pembangkang bagi menunjukkan protes mereka terhadap cara ketergesaan pindaan tersebut di ’bulldozed’ langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada pihak kerajaan bagi memahami mengapa pindaan sewenang-wenang seperti ini adalah precedent buruk yang mencemar amalan proses legislatif di Negara ini.

Sekiranya tidak ada dalam pengetahuan YAB Perdana Menteri, BERSIH ingin mengingatkan bahawa Negara ini telah mengalami 40 kali pindaan perlembagaan berbentuk ‘multiple amendments’ dan tak kurang dari 650 ‘single amendments’. Negara jiran Singapura yang kurang lebih mempunyai sejarah latar seperti kita hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak 4 kali. Negara seperti Amerika Syrarikat yang punya sejarah negara-bangsa selama 231 tahun pun, hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak 27 kali.

Jelas kerajaan Umno/BN yang telah memerintah selama 5 dekad ini, kurang memahami di segi pemuliharaan ‘Kemurniaan Undang-Undang’ (Sanctity of Law) sekaligus bagi mempertahankan ‘Keluhuran Undang-undang’ (Rule of Law) lantas telah melakukan pindaan secara memaparkan keangkuhan dan ketidakpeduliaan (with impunity) yang mengaibkan negara di kacamata masyarakat antarabangsa.

BERSIH cukup sedar dan sama sekali tidak keterlaluan bagi kami untuk menyatakan bahawa segala-gala ini, hanyalah bagi melayakkan penjawat jawatan Pengerusi SPR hari ini, yang akan bersara pada 31 Disember akan datang, untuk terus dilanjutkan perkhidmatan beliau.

Nota Bantahan BERSIH kepada Speaker Parlimen pada 11 Disember yang lalu secara tegas dan jelas telah menggariskan mengapa peribadi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman samasekali tidak layak untuk meneruskan tugasannya selaku Pengerusi SPR. Negara yang berada di ambang Pilihanraya Umum ke-12 pada bila-bila masa ini, wajar mengambil peluang ini bagi membuka lembaran baru yang seharusnya menjanjikan satu suasana sihat dan segar, dalam amalan pengurusan proses pilihanraya.yang lebih bebas, adil dan bersih.

Bagi pertimbangan YAB Perdana Menteri, BERSIH sekali lagi di sini menurunkan penghujjahan kami mengapa peribadi Tan Sri Rashid akan terus mencemarkan proses pilihnaraya sekaligus tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan pengundi kepada proses pilihanraya di Negara ini. Wajar bagi BERSIH mengingatakan YAB Perdana Menteri, bahawa Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan menegaskan tentang “kepentingan mendapat keyakinan awam terhadap SPR”.

Senarai ringkas ini kami turunkan di sini:

i. Daftar Pemilih masih lagi tercemar dengan nama-nama pengundi yang telah mati, bukan-warganegara, pendaftaran lebih dari sekali, tidak cukup umur lantas menjadi keputusan pilihanraya ditentukan oleh mereka yang tidak berkelayaan atau “pengundi hantu’. Likas satu contoh yang jelas dan bagaimana Hakim Datuk Muhamad Kamil Awang telah menolak keputusan pilihanraya tersebut. Amat malang sekali, kerajaan BN telah mengambil peluang meminda Akta Pilihanraya 1958 Seksyen 9A yang menjadikan Daftar Pemilih setelah diwartakan “tidak lagi tertakluk atau boleh dicabar, dinilai semula di mana-mana mahkamah”. Tegasnya pindaan ini telah memerangkap kita dengan Daftar Pemilih yang tidak boleh dibersihkan kecuali oleh SPR sendiri.

Awal tahun ini setelah sekian lama bantahan pihak pembangkang khususnya tentang kekotoran Daftar Pemilih, SPR mengakui bahawa telah digugurkan seramai 180,000 pengundi kerana dikesani telah mati. Seramai 22, 433 pengundi dikesani bukan dari warganegara ini kerana nama mereka tidak pernah wujud dalam Jabatan Pendaftaran Negara. Persoalannya berapa ramaikah mereka ini yang mengundi pada PRU ke-11 lalu dan berapa ramai yang masih berada dalam Daftar Pemilih (DP) yang ada kini? Pengundi jenis ini timbul lagi dalam pilihanraya kecil Ijok pada April 2007. Isu Daftar Pemilih terbit lagi dengan pengakuan yang dibuat oleh beberapa pengundi yang nama mereka tersenarai sementara mereka tahu mereka tidak pernah berdaftar dan tidak pernah mengundi (contoh Ahirudin Atan iaitu blogger Rocky Bru dan lain-lain). Dakwaan Pengerusi SPR bahawa Daftar Pemilih adalah bersih langsung tidak berwibawa!

ii. Kenyataan-kenyataan bercanggah yang sesekali menyokong usaha-usaha reformasi pilihanraya dan sesekali mengatakan pilihanraya adalah bebas dan adil, hanya pembangkang yang kalah yang membuat komplain, samasekali meletakkan peribadi ini mempunyai personaliti yang sukar untuk dipegang komitmen dan dipertikai kewibawaannya. Bernama 8 Januari 2007 telah melaporkan bahawa beliau menuntut supaya kerajaan memberi ruang kepada SPR bahawa beliau menegaskan “undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun ini tidak lagi sesuai digunakan dan tidak lagi memjamin keadilan terus wujud bagi semua”. Beliau juga pada sesi itu menuntut antara lainnya ”kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktibiti membeli undi dalam musim pilihanraya, kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua pihak yang bertanding dalam media cetak dan elektronik, kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen”. Jelasnya seperti dakwaan beberapa pihak pembangkang dan awam bahawa peribadi ini mempunyai ’lidah bercabang’. Paling mutakhir beliau menyebutkan hanya ’regim yang ada kini yang mampu mentadbir negara ini’. Beliau juga memberitahu rakyat yang beliau tahu tarikh pilihanraya sementara YAB Perdana Menteri sendiri belum tahu dan tidak memberi tahu kepada kabinet. Peribadi ini jelas sudah tidak koheren dan konsisten untuk menjawat tugasan seorang Pengerusi yang sewajar menunjukan sikap ‘independen atau tidak memihaknya’. Kenyataan beliau tentang penghakiman Hakim Datukl Muhammad Kamil tentang Likas sebagai ‘bias dan prajudis’ jelas menunjukkan kecenderungan beliau, sekaligus menghina Mahkamah.

iii. Rakyat dan pengundi masih segar dalam ingatan tentang Pilihanraya Umum ke-11 sebagai yang dikatakan oleh pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan penganalisis politik sebagai paling kotor dalam sejarah demokrasi tanah air. PRU ke-11 adalah dibawah kelolaan dan tanggungjawab Tan Sri Rashid. Beliau berpeluang untuk memperbaikki prestasi dalam 3 pilihanraya kecil yang menyusul. Amat mendukacitakn bukan sahaja beliau terus menunjukkan keangkuhannya bahkan keadaan semakin lebih buruk seperti yang diketahui umum dalam pilihanraya kecil di Batu Talam, Machap dan Ijok. Segala ucapan baik beliau dalam beberapa seminar tentang kebersihan pilihanraya, kini dilihat sebagai omong-omong kosong yang tidak terbukti dengan satu ‘political will’ untuk menjalankan penambahbaikan pilihanraya. ‘Padang yang sama-rata’ masih jauh dari realiti dan cita-cita untuk menyaksikan pilihanraya bebas, bersih dan adil akan menjadi lebih sulit dan sukar dengan peribadi yang kini cukup dipertikaikan dan disangsikan kewibawaannya untuk terus memimpin SPR.

Atas penghujjahan ringkas yang kami kemukakan di atas ini, dan sebagai mewakili lebih ramai rakyat dsan pengundi yang mahu menyaksikan pilihanraya bebas, adil dan bersih, maka BERSIH sekali lagi memohon budibicara dan kewajaran YAB Perdana Menteri supaya tidak menyambung perkhidmatan Pengerusi SPR ini, meskipun laluan untuk beliau telah terbuka dengan kelulusan pindaan kontroversi yang dibuat parlimen pada 11 Disember yang lalu. Apakah YAB Perdana Menteri mahu mengisyratakan atau mengesahkan bahawa negara ini sudah tidak punya peribadi peribadai yang memilikki kewibawaan dan personaliti yang tidak dipertikaikan atau ‘of impeccable integrity’, dengan izin?

BERSIH sayugia mengingatkan YAB Perdana Menteri, seandainya perkhidmatan Pengerusi SPR ini dilanjutkan juga, maka tidak ada jaminan bahawa rakyat tidak akan bangkit untuk membantah perlanjutan perjawatan beliau demi menjaga keutuhan demokrasi dan kestabilan negara.

Tiada ulasan: