KUALA LUMPUR, 9 Jan — Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul
Abidin mengatakan lagu kebanyakkan negeri-negeri yang menggunakan
kalimah “Allah” terpaksa ditukar dengan keputusan mengharamkan
penggunaan kalimah Arab tersebut bagi orang-orang bukan Islam.
Bekas Mufti Perlis (gambar) itu dilihat
sebagai memberi respon kepada perintah Di Raja yang dikeluarkan oleh
Sultan Selangor mengharamkan penganut agama selain Islam untuk
menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan mereka.
“Bnyk lagu negeri2 ada klimah Allah trmasuk S'ngor. Jk mrk
haram sama sekali pnggil Tuhan ALLAH, mk versi khas dperlukn,” tulis
beliau di akaun Twitternya, @realDrMAZA.
“Ertinya pengharaman total tidak mungkin. Kalau sekadar untuk Bible Bahasa Melayu, itu soal pentadbiran sahaja.”
“Kerajaan boleh larang (penggunaan kalimah Allah) atas
pentadbiran, bukan kerana Islam mengharamkan bukan Muslim sebab tiada
arahan khusus dalam Islam tentang hal ini. Bible di negara Arab semua
sebut Allah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi.
Malaysia yang didominasi Islam mempunyai 13 buah negeri
dan tiga wilayah persekutuan. Kebanyakan lagu negeri mengandungi
perkataan “Allah” di dalam liriknya.
Lagu kebangsaan, “Negaraku”, tidak mengandungi perkataan Arab “Allah” tetapi menggunakan perkataan Melayu, “Tuhan”.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) telah menarik
pengikut yang ramai oleh kerana pandangan vokal beliau mengenai hal
agama.
November lepas, beliau diheret ke dalam kontroversi
kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai Islam
dengan beberapa tokoh agama mencadangkan kenyataan naib presiden PKR itu
dalam sebuah forum awam bermakna beliau menyokong orang Islam melakukan
“Murtad”.
Mohd Asri mempertahankan tokoh pembangkang muda yang
bersinar bintangnya itu secara terbuka, mengatakan tiada paksaan dalam
amalan Islam.
Isu-isu kaum dan agama tidak dapat dipisahkan di Malaysia,
di mana orang Melayu — yang membentuk 60 peratus daripada 28 juta
penduduk — ditakrifkan perlembagaan sebagai orang Islam.
Undang-undang tertinggi negara menyatakan Islam adalah
agama persekutuan tetapi membenarkan juga agama-agama lain untuk
diamalkan secara bebas.
Pemimpin gereja Kristian dan badan mewakili kuil Sikh di
seluruh negara telah menyatakan kebimbangan mengenai kesan perintah Di
Raja Sultan Selangor mengharamkan pengikut agama selain agama Islam
daripada menggunakan perkataan "Allah" merujuk kepada tuhan mereka.
Sultan negeri juga mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (JAIS) untuk
mengambil tindakan tegas terhadap semua kumpulan, termasuk bukan Islam,
yang terus mempersoalkan fatwa negeri dan undang-undang 1988 negeri
menyekat penggunaan perkataan Arab itu.
Walau bagaimanapun, pada bulan Disember 2009, Mahkamah
Tinggi memutuskan perkataan "Allah" tidak terhad kepada orang Islam dan
Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan tersebut dalam
edisi Melayu akhbar mingguan, Herald.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan