Ahad, Julai 04, 2010

Malaysia bukan Negara Sekular? Oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.. Baca dulu..

Peguam Syarie Menulis - 14 Januari 2009 Berita Harian

Jan 14th, 2009 | By webmaster | Category: Peguam Menulis

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Kedudukan tertinggi agama Islam dalam Perlembagaan perjelas Malaysia bukan negara sekular BARU-BARU ini beberapa tokoh politik pembangkang dan kerajaan berpolemik mengenai hukum hudud di negara ini. Pengerusi DAP, Karpal Singh, dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan hukum hudud melanggar Perlembagaan Persekutuan. Ia disokong pula Ketua Biro Penerangan dan Komunikasi MCA, Lee Wei Kiat.

Polemik itu tercetus kerana kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berkata orang bukan Islam tidak perlu gentar dengan hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Apabila timbul persoalan sebegini biasanya akan timbul pula persoalan sifat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri sama ada sekular ataupun Islamik. Namun, kepemimpinan MCA mempertikaikan kesahihan negara Islam ini dengan mengutarakan laporan Suruhanjaya Reid dan keputusan Mahkamah Agong mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular.
Polemik ini perlu diselesaikan secara ilmiah, profesional dan berhemah berdasarkan fakta sejarah dan hakikat yang berlaku di negara kita. 
 Walaupun mengikut sejarah, laporan Suruhanjaya Reid ada menyatakan kemasukan fasal Islam adalah agama bagi Persekutuan tidak menjejaskan sifat sekular Perlembagaan. Adakah kita terikat semata-mata kepada hasrat penggubal Perlembagaan itu yang rata-ratanya bukan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra juga berpendirian sedemikian. Malah, penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh mentafsirkan Islam dalam Perkara 3 itu terhad kepada aspek amalan dan rasmi saja. Ruangan ini menjemput pembaca menilai semula kedudukan itu berdasarkan lunas dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
 
Jika diperhalusi, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. 
 
Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan mereka bahawa negara itu negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Ia tidak berlaku dalam Perlembagaan dengan wujudnya Perkara 3 di atas.

Jika Perlembagaan adalah sekular, tentu Perkara 3 itu ditiadakan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara sekular.
Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.
Tindakan kerajaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.

Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

Adalah mustahil dalam sebuah negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.
Malah, dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada kalangan masyarakat tidak berpuas hati dengan kedudukan itu. 
Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.
Malah, dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf. Ia termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.

Ia sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini. Dengan mengetepikan Islam, ia sudah tentu akan memecahkan sumpah Yang di- Pertuan Agong mempertahankan Islam.

Malah, Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar dengan sumpah itu. Sebagai seorang ahli politik kanan sudah seharusnya Karpal Singh menerima hakikat ini dan tidak berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau.

Contoh itu sebahagian contoh membidas hujahan pihak yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular secara menyeluruh. Pelbagai perkara berlaku selepas Perlembagaan dipinda selepas kemerdekaan negara menjurus kepada peninggalan sifat sekular negara.


Adalah jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran. Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan.
Namun, Islam beberapa kali disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dan diberikan tempat yang tinggi. Beberapa kes diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengesahkan kedudukan istimewa Islam dalam negara.

Negara sekular tidak memberi keistimewaan langsung kepada sebarang agama dalam menjalankan aktiviti agama mereka. Perkara itu tidak berlaku di Malaysia dan penjelasan di atas sebahagian daripada bukti bahawa Malaysia bukanlah negara sekular.

Namun, oleh kerana negara ini bukanlah negara sekular tidaklah secara automatik ia menjadi negara teokratik. Malaysia bukan sebuah negara yang mengamalkan undang-undang Islam. Ini dapat dilihat kerana pelbagai undang-undang yang digubal tidak semuanya selari undang-undang Islam.

Walaupun Butiran 1 Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Dewan Undangan Negeri berkuasa mewujudkan dan menghukum kesalahan yang dilakukan penganut agama Islam terhadap perintah agama Islam, tetapi ia dibataskan hanya kepada perkara yang tidak disenaraikan dalam Senarai 1 Jadual yang sama dan takat hukuman pula ditentukan oleh undang-undang Persekutuan.

Kesimpulannya, Malaysia bukanlah sebuah negara sekular, tetapi ia juga tidak mencapai tahap menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini tidak harus dibangkitkan lagi semata-mata untuk menagih populariti saja. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari www.peguamsyarie.org

Tiada ulasan: